MUHAMMAD ZULHAKIM
BIN ABD HAMID
Oleh: Nadiah
Graduan Diploma Kejururawatan Institut Sains dan Teknologi Darul Takzim (INSTEDT) tahun 2013, Muhammad Zulhakim bin Abd Hamid merupakan pemuda yang berasal daripada Selangor dan kini menetap di Shah Alam. Beliau kini merupakan jururawat di Pusat Jagaan Warga Emas Bait Al-Mawaddah, Pusat Zakat Selangor yang mana penghuninya adalah daripada golongan warga emas asnaf fakir, miskin serta gelandangan. Muhammad Zulhakim juga merupakan kumpulan jururawat terawal dalam penubuhan Bait Al-Mawaddah dan telah berkhidmat lebih dua tahun di pusat jagaan ini. Kata beliau yang baru sahaja menghadiri konferens penjagaan geriatrik atau warga emas di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sungai Buloh itu, “Di dalam penjagaan geriatrik, perlu ada sifat penyayang di dalam setiap penjagaan kerana mereka memerlukan kasih sayang daripada staf yang dianggap seperti anak-anak mereka dan sifat ini perlu dipupuk sewaktu zaman belajar lagi.” Beliau juga sering terlibat dengan program kesedaran kesihatan kepada warga emas dan kursus-kursus gerontologi anjuran Pusat Zakat Selangor bersama Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Tunku Ampuan Rahimah (HTAR). Beliau yang bercita-cita melanjutkan pengajian dalam pos basik gerontologi turut berpesan, “harapan saya semoga pelajar kejururawatan sentiasa ikhlas dan sentiasa bersemangat untuk menuntut ilmu kerana profesion seorang jururawat dipandang tinggi oleh masyarakat. Tingkatkan kesabaran dan yakinlah ada saham untuk kita di akhirat kelak.”
No comments:
Post a Comment