Wednesday, 29 June 2016

Ramadhan Pergi Lagi...

Oleh : Sulaimi Arif  


Kali ini ia pergi seperti semalam baru dirasai,
Tanpa ku sedari ia pergi melalui peredaran masa yang pantas berpaksikan kitaran putaran bumi,
Adakah ramadhan ini yang terbaik dari diri ini atau sebalik nya, 
Mencari barakah bulan mulai yang menjenguk umat Islam setahun sekali,
Hari ini kita gembira meraikan peperangan hawa nafsu yang belum pasti esoknya dapat kita rasa lagi.

Lailatul Qadar rahsia Tuhan yang muncul sekali dalam sebulan,
Tetapi adakah kita dapat merasainya seperti mana orang-orang soleh dan solehah merasainya,
Sedang kita di hanyut keasyikan menyambut datangnya Aidilfitri,
Seperti kita mengetahui Ramadhan yang seterusnya dapat kita tempuhi lagi walhal hari esok belum kita tahu sudahnya.

Terima kasih Ramadhan, terima kasih atas pengajaran yang ditebarkan kepada pada pencari barkah mu,
Semoga kita bertemu lagi dengan penuh rasa rendah diri,
Hadir mu dirasai, pergi mu bakal dirindui.




مع السلامة والى القاءيا رمضان

   

 

MALAM LAILATUL QADAR

FADHILAT MALAM LAILATUL QADAR DAN KELEBIHANNYA


Oleh: Zuraini Othman

 

Lailatul Qadaradalah satu malam yang khusus terjadi di bulan Ramadan. Ayat al-Qur’an yang pertama dipercayai diturunkan pada malam ini. Malam ini disebut di dalam al-Qur’an dalam surah Al-Qadr, dan diceritakan lebih baik daripada seribu bulan.
Saat pasti berlangsungnya malam ini tidak diketahui namun menurut beberapa hadis, malam ini jatuh pada 10 malam terakhir pada bulan Ramadan, tepatnya pada salah satu malam ganjil yakni malam ke-21, 23, 25, 27 atau ke-29. Malah ada sebahagian ulama yang menganggap ia berlaku pada malam genap seperti malam 24 Ramadan. Walau bagaimanapun, antara hikmah malam ini dirahsiakan agar umat Islam rajin beribadat di sepanjang malam khususnya di sepuluh malam yang terakhir. Sebahagian Muslim biasanya berusaha tidak melewatkan malam ini dengan menjaga diri agar berjaga pada malam-malam terakhir Ramadan sambil beribadah sepanjang malam.

 LAILATULQADAR MALAM YANG DINANTI OLEH MUKMIN

10 akhir Ramadhan adalah merupakan di antara malam-malam yang penuh dengan keberkatan dan kelebihan yang tertentu. Malam-malam ini adalah merupakan malam yang ditunggu-tunggu oleh seluruh orang mukmin. Bulan Ramadhan, al-Quran dan malam Lailatulqadar mempunyai hubungan yang rapat antara satu sama lain sebagaimana yang diterangkan di dalam kitab Allah dan hadis Rasulullah s.a.w. di antaranya firman Allah s.w.t.
Maksudnya: “Sesungguhnya kami menurunkan al-Quran pada malam Lailatulqadar dan apakah yang menyebabkan engkau mengerti apa itu Lailatulqadar. Lailatulqadar lebih baik daripada 1000 bulan. Pada malam itu, para malaikat dan Jibril turun dengan keizinan daripada Tuhan mereka untuk setiap urusan. Malam ini sejahtera hingga terbit fajar”.
SURAH AL-QADR

Lailatulqadar mempunyai kelebihan yang begitu besar kerana lebih baik dari 1000 bulan yang lain. Sebab diturunkan ayat tersebut diriwayatkan daripada Mujahid dikatakan sebab turun ayat tersebut ialah Nabi s.a.w. telah menyebut tentang seorang lelaki daripada Bani Israel yang telah menggunakan alat senjatanya untuk berperang pada jalan Allah maka orang Islam pun kagum di atas perbuatan itu lalu Allah menurunkan ayat di atas.
Riwayat yang lain pula dari Ali bin Aurah pada satu hari Rasulullah telah menyebut 4 orang Bani Israel yang telah beribadah kepada Allah selama 80 tahun. Mereka sedikitpun tidak derhaka kepada Allah lalu para sahabat kagum dengan perbuatan mereka itu. Jibril datang memberitahu kepada Rasulullah bahawa Allah s.w.t. menurunkan yang lebih baik dari amalan mereka. Jibril pun membaca surah Al Qadar dan Jibril berkata kepada Rasulullah ayat ini lebih baik daripada apa yang engkau kagumkan ini menjadikan Rasulullah s.a.w. dan para sahabat amat gembira.
Daripada ayat di atas dapatlah kita ketahui bagaimana besar kelebihan orang yang beribadah pada malam lailatulqadar. Ianya satu malam menyamai beramal 1000 bulan.
Dalam hadis Rasulullah s.a.w. menyebut
Maksudnya: “Rasulullah bersungguh-sungguh beribadah pada 10 akhir bulan Ramadhan lebih daripada yang lainnya”
Rasulullah s.a.w. melakukan ibadah pada malam itu bukan hanya setakat baginda sahaja tetapi baginda menyuruh ahli keluarga bangun bersama beribadah. Kata Aisyah r.a.
Maksudnya: “Nabi s.a.w. apabila masuk 10 akhir bulan Ramadhan baginda mengikat kainnya. Menghidupkan malam dengan beribadah dan membangunkan keluarganya untuk sama-sama beribadah. Mengikat kainnya bermaksud bersungguh-sungguh mengerjakan ibadah.”
KELEBIHAN MENGHAYATI MALAM LAILATULQADAR

Kerana mulianya Lailatulqadar, Rasulullah s.a.w. menganjurkan supaya umatnya bersedia menyambut dan menghayati malam yang berkat itu dengan pelbagai jenis amalan dan ibadah yang diterangkan di antaranya hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a.
Maksudnya: “Barangsiapa menghayati malam Lailatulqadar dengan mengerjakan sembahyang dan berbagai jenis ibadat yang lain sedang ia beriman dan mengharapkan rahmat Allah s.w.t  nescaya ia diampunkan dosanya yang terdahulu.
Rasulullah s.a.w. sendiri menjadi contoh yang baik yang menghayati malam lailatulqadar terutama 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan dengan beriktikaf di Masjid mengerjakan pelbagai amal ibadah untuk menyambut malam Lailatulqadar yang mulia.
Ini diterangkan di dalam satu hadis diriwayatkan daripada Aishah r.a. Katanya:
Maksudnya: “Biasanya Rasulullah s.a.w. berusaha dengan bersungguh-sungguh memperbanyakan amal ibadah pada 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan berbanding dengan masa yang lain.”
Dalam hadis yang lain Aishah juga meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui malam Lailatulqadar pada malam-malam yang ganjil dalam 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan.
Terdapat juga hadis yang mengatakan bahawa baginda Rasulullah s.a.w. menjawab pertanyaan seorang sahabat yang bertanya mengenai masa Lailatulqadar supaya ianya bersedia dan menghayatinya. Baginda menjelaskan malam Lailatulqadar itu adalah malam 27 Ramadhan. Dari keterangan-keterangan di atas dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa malam Lailatulqadar itu berpindah dari satu tahun ke satu tahun yang lain di dalam lingkungan 10 malam yang akhir dari bulan Ramadhan.
Yang pastinya bahawa masa berlakunya malam Lailatulqadar itu tetap dirahsiakan oleh Allah s.w.t. supaya setiap umat Islam menghayati 10 malam yang akhir daripada Ramadhan dengan amal ibadat. Kerana dengan cara itulah sahaja mudah-mudahan akan dapat menemuinya dan dapat pula rahmat yang diharapkan yang akan menjadikan seseorang itu hidup bahagia di dunia mahupun di akhirat.


SUMBER: https://muslim.or.id/28232-carilah-keutamaan-malam-lailatul-qadar.html

Tuesday, 28 June 2016

SEMAI KASIH SISWA INSTEDT


Oleh: Nurunnadiah 

KOTA TINGGI, 26 Jun 2016 – INSTEDT dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Siswa (HES) dan Gabungan Siswa/Siswi INSTEDT (GASI) telah menganjurkan program Semai Kasih Siswa INSTEDT bertempat di Kampung  Baru, Sungai Seluyut, Kota Tinggi. Program berbentuk tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini turut melibatkan Exco Wanita, Pembangunan dan Pembangunan Keluarga Negeri Johor, YB Hjh Asiah bte Md Arif (juga merupakan ADUN Johor Lama).

Program ini merupakan program sumbangan ihsan sempena Ramadhan, dan sasaran penerima sumbangan adalah golongan ibu tunggal dan fakir miskin. Dana sumbangan dikumpul daripada kakitangan, siswa/siswi INSTEDT serta masyarakat luar yang ingin turut serta membantu mereka yang memerlukan. 

Kira-kira 40 orang sukarelawan yang terdiri daripada kakitangan dan siswa/siswi INSTEDT terlibat dalam pengagihan barang keperluan asas, serta sumbangan tenaga kerja dalam membantu operasi pembersihan kawasan tempat tinggal mereka.

Semoga adanya sinar gembira buat mereka dalam Ramadhan ini. Tahniah kepada pihak penganjur yang cakna akan kesusahan masyarakat dalam komuniti setempat, dan menganjurkan program CSR ini. Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat samada secara langsung atau tidak langsung. 

Ucapan daripada YB Hjh Asiah Md Arif