Oleh:
Nurunnadiah
DUN PENAWAR, 16
Julai 2016 – INSTEDT dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Siswa (HES) sekali
lagi menganjurkan program berbentuk tanggungjawab sosial korporat (CSR) di
sekitar DUN Penawar. Program yang diberi nama Semai Kasih Siswa INSTEDT ini
turut mendapat kerjasama daripada ADUN Penawar iaitu YB Hamimah Mansor.
Program ini
bertujuan untuk mengeratkan hubungan antara institusi pengajian tinggi bersama
komuniti setempat, selain dapat memupuk sikap prihatin masyarakat, dan menyemai semangat kesukarelawanan di kalangan
siswa-siswi INSTEDT.
Kira-kira 20
orang sukarelawan terlibat dalam program ini yang terdiri daripada kakitangan
& pelajar INSTEDT, ADUN Penawar (YB Hamimah), Ketua-ketua Kampung dan
Beliawanis. Rumah-rumah terpilih telah dikenal pasti sebagai kategori asnaf dan
kurang berkemampuan, yang terdapat di perkampungan Felda Sungai Mas, Felda
Papan Timur, dan Kampung Baru Sungai Mas. Sumbangan yang diagihkan berbentuk
barangan keperluan asas, yang telah dikumpul daripada INSTEDT dan sumbangan
daripada ADUN Penawar. Selain itu, kontinjen sukarelawan turut bermarhaban di
rumah-rumah tersebut sebagai meraikan mereka di Syawal ini. Majlis penutup bagi
program ini diadakan di Dewan Serbaguna Felda Sungai Mas, sempena ‘Rumah
Terbuka Felda Sungai Mas’.
Sekalung
penghargaan diucapkan kepada semua yang terlibat sama ada secara langsung atau
tidak langsung di dalam program “Semai Kasih Siswa INSTEDT”. INSTEDT juga merakamkan jutaan terima kasih
kepada ADUN Penawar yang sudi bersama-sama bagi menjayakan program ini.
Tahniah Bahagian
Hal Ehwal Siswa INSTEDT! Semoga usaha murni kalian mendapat saham yang baik di
sisiNya.