Thursday 19 January 2017

DUTA JAUHAR INSTEDT GASI DEKATI ASNAF DI KAMPUNG SENTOSA SEDILI

Oleh: Husaini Ab. Raji



KOTA TINGGI, 4 Disember 2016 - Duta Jauhar Instedt GASI dengan kerjasama Jawatankuasa Pemuda UMNO Cawangan Kampung Sentosa Sedili telah mengadakan Program Ziarah Kasih untuk menyantuni dan menyampaikan bantuan kepada golongan asnaf di kampung tersebut. Program yang disertai oleh 40 peserta terdiri daripada Duta Jauhar Instedt GASI dan Jawatankuasa Pemuda UMNO Cawangan Kampung Sentosa Sedili ini dimeriahkan lagi dengan konvoi berbasikal ke rumah-rumah golongan asnaf tersebut. Konvoi berbasikal Ziarah Kasih ini telah mengunjungi lima rumah ibu tunggal dan menyerahkan sumbangan barangan keperluan harian bagi meringankan beban mereka. Penyelia Duta Jauhar Instedt GASI, Siti Nur Sarah Ab Aziz berkata program ini merupakan tanggungjawab sosial terhadap komuniti setempat.Menurutnya, konvoi berbasikal yang dimulakan di kawasan Legaran Air Putih itu dianjurkan serentak dengan pelancaran Laman Herba Jauhar di kampung berkenaan yang digerakkan kumpulan Duta Jauhar Instedt GASI sebagai salah satu tarikan baru pelancongan di Sedili selaras dengan tema projek kami iaitu Transquil Sedili." Program tersebut turut disertai Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kota Tinggi, Muhammad Fadzli  Hasan dan Ketua Pemuda UMNO Cawangan Kampung Sentosa Sedili, Mohd Fauzan Sebalas. 






MENJANA PENDAPATAN ONLINE MELALUI PROGRAM eREZEKI

Oleh: Husaini Ab. Raji

JOHOR BAHRU, 15 Januari 2019 – INSTEDT telah menghantar seramai 8 orang kakitangan dan 25 orang pelajar bagi mengikuti program menjana pendapatan tambahan menggunakan teknologi digital yang dikenali sebagai eRezeki.
Program berkenaan yang berkonsepkan penyumberan awam akan memberi latihan kemahiran percuma dalam bidang digital kepada golongan berpendapatan rendah B40 sebelum mereka diberi tugasan yang menawarkan bayaran lumayan daripada syarikat-syarikat digital di pasaran.  Menurut fasilitator program berkenaan Suriani Manaf, program transformasi nasional yang dikendalikan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia Pembangunan Multimedia (MDEC) ini bakal menjana pendapatan tambahan kepada golongan berpendapatan rendah termasuk pesara, suri rumah, siswazah menganggur dan pelajar yang sedang mengikuti pengajian.
Katanya, kebanyakan tugasan boleh dilakukan dari rumah seperti memasukkan data ke dalam sistem komputer, menyemak kesesuaian gambar dan transkripsi video atau audio sebelum diterbitkan. Wakil daripada bahagian Hal Ehwal Siswa, Siti Zuraini Keliwon menjelaskan beliau sangat teruja dengan program ini yang dapat memberikan sumber pendapatan tambahan dan berharap akan lebih ramai lagi rakan-rakan dan pelajar dapat mendaftar dalam program ini.







PROGRAM TREE FOR A TREE PERINGKAT NEGERI JOHOR

Oleh : Husaini Ab. Raji



PERMAS JAYA, 15 Januari 2017 – Seramai 40 orang pelajar Institut Sains dan Teknologi Darul Takzim (INSTEDT) telah dipilih sebagai sukarelawan dalam menjayakan program “Tree For A Tree” yang dianjurkan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) hari ini dengan kerjasama Majlis Bandaraya Joor Bahru (MBJB) dan Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA).  Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) TNB ini menzahirkan komitmen syarikat tersebut terhadap usaha pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar.
Penyertaan pelajar INSTEDT sebagai sukarelawan ini adalah sebagai tanda sokongan kepada program penghijauan alam sekitar.  Program “Tree For A Tree” peringkat negeri Johor ini telah dirasmikan oleh YAB Menteri Besar Johor Dato’ Mohamed Khaled Nordin.  Kira-kira 300 anak pokok telah ditanam dari spesis Bucida, Bintangor Bukit, Tembusu Padang, Penaga Lilin, dan Tekoma atau lebih dikenali dengan nama Sakura di Kawasan Hijau, Jalan Permas 6/10, Bandar Baru Permas Jaya, Johor Bahru.  Selain pelajar INSTEDT, program hari ini disertai kira-kira 200 orang sukarelawan terdiri daripada warga kerja TNB, warga kerja MBJB, para pelajar kolej Komuniti Pasir Gudang, Kolej Politech MARA dan penduduk setempat.





Wednesday 18 January 2017

MUHAMMAD RAIHAN BIN SOHIMI

Oleh : Marlina

“Assalammualaikum dan salam sejahtera. Saya merupakan graduan Diploma Pengurusan dan Perniagaan (DPP) INSTEDT sesi Mei 2013 dan kini sedang melanjutkan pelajaran di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Pemasaran (Kepujian). Sepanjang 3 tahun belajar di INSTEDT, saya dapati para pensyarah memberikan ilmu cukup bernilai kepada semua pelajar dan mereka sentiasa mempelbagaikan corak pengajaran agar pelajar mudah memahami sesuatu subjek. Tambahan pula dengan adanya Latihan Industri dan Praktis Klinikal, ia memberikan saya banyak pengalaman dan dapat memperbaiki prestasi saya dalam menjalankan tugas sebagai ‘pekerja sementara’ di tempat latihan industri suatu ketika dahulu.  Saya amat berterima kasih dan menghargai seluruh warga Institut Sains dan Teknologi Darul Takzim (INSTEDT) kerana telah memberikan satu era baru yang mencorakkan diri saya sebagai seorang manusia berjaya yang kini berpeluang menyambung pelajaran di peringkat ijazah. Terima kasih, INSTEDT”.




“INSTEDT PILIHANKU”

BULAN BAHASA KEBANGSAAN DAN KEMERDEKAAN CETUS SEMANGAT PATRIOTIK

Oleh : Noorain Rahman

28 Ogos 2016. INSTEDT. Bulan Bahasa Kebangsaan dan Kemerdekaan (BBKK) telah diadakan pada 28 Ogos hingga 21 September 2016 yang bertempat di Lobi INSTEDT. Program ini bertujuan untuk menanam semangat patriotik kepada para pelajar dan juga kakitangan INSTEDT. Program ini bukan sahaja diadakan  sempena menyambut bulan kemerdekaan, tetapi juga dilakukan untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Antara pertandingan yang telah dianjurkan oleh Jabatan Bahasa dan Pengajian Islam dengan kerjasama Hal Ehwal Siswa INSTEDT ialah pertandingan lukisan poster, pertandingan busana patriotik, pertandingan penulisan kreatif, pertandingan nyanyian patriotik, pertandingan deklamasi sajak dan juga treasure hunt sempena bulan kemerdekaan. Manakala aktiviti sudut ucapan kemerdekaan dan tayangan video patriotik turut menjadi tumpuan para pelajar dan kakitangan INSTEDT. Bertemakan ‘Bahasa Teras Jiwa Merdeka’, program ini merupakan acara wajib yang sentiasa mendapat sambutan hangat dalam  kalangan pelajar dan kakitangan INSTEDT.











SAMBUTAN MAULIDUR RASUL ERAT HUBUNGAN PELAJAR DAN MASYARAKAT

Oleh : Noorain Rahman


BANDAR PENAWAR, 22 Disember 2016 - Surau Al-Muttaqin Taman Desaru Utama. Seramai 20 orang pelajar Diploma Pengajian Islam dan Diploma Kejururawatan telah menjadi sukarelawan untuk menjayakan sambutan maulidur rasul di Surau Al-Muttaqin Taman Desaru Utama. Tema program ialah “Ukhuwah Islamiah Asas Penyatuan Ummah’ yang dianjurkan oleh Kelab Rukun Tetangga (KRT) di Taman Desaru Utama dengan kerjasama JPMM DUN Penawar.  Program ini mendapat sambutan yang sangat meriah oleh penduduk setempat. Sambutan yang bermula dengan bacaan berzanji manakala  pada waktu petang pula program selawat yang  diketuai oleh ADUN Penawar, YB Puan Hjh Hamimah Binti Mansor.  Sambutan itu diteruskan dengan pertandingan mewarna dan juga pertandingan azan bagi kanak-kanak. Pada sebelah malamnya pula, ceramah sambutan maulidur rasul oleh juara pencetus ummah musim pertama iaitu PU Hafiz mendapat sambutan yang memberangsangkan oleh penduduk setempat terutamanya warga kerja Pengerang. Sambutan ini diakhiri dengan jamuan makan nasi beryani di dalam dulang.



PROGRAM SUKARELAWAN BERSAMA WARGA TADIKA SUNGAI REDAN

Oleh: Zulkifli Zaini


KOTA TINGGI, 14 JANUARI 2017 - Persatuan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (PERKEKWA) INSTEDT telah menganjurkan program sukarelawan bersama warga Tadika Sungai Redan, Kota Tinggi.  Program yang dianjurkan ini bertujuan untuk menjalinkan hubungan silaturahim dan memupuk semangat kerjasama antara pelajar IPT dan komuniti setempat. Oleh itu, pelbagai program menarik dan bersesuaian telah dirangka dan dijalankan bersama-sama guru-guru, ibu bapa serta murid-murid tadika di sana. Antara program yang telah dijalankan seperti gotong-royong dan beberapa jenis permainan sukan rakyat. 

















KATA-KATA NASIHAT



Dalam hidup ini adakalanya kita perlu menangis,
Agar kita sedar hidup ini bukan hanya untuk bergembira dan ketawa,
Adakalanya kita perlu ketawa agar kita tahu menghargai nilai setitis air mata, 
Kalau kita tidak merasa kesulitan hari ini, 
Kita tidak akan rasai kemanisan kemudian hari. 

Tidak salah untuk sesekali kita perlu DERITA untuk mengenal erti BAHAGIA,

Sesekali kita perlu KECEWA untuk kita kenal erti KEJAYAAN,
Sesekali kita perlu MENANGIS untuk kita syukuri NIKMAT yang diberi,
Sesekali kita perlu TERHIRIS untuk kita kenal DIRI SENDIRI.



Tuesday 17 January 2017

‘AMBIL APA SAHAJA PILIHANMU’

Oleh: Marlina 


BANDAR PENAWAR, 3 OGOS 2016 – ‘Ambil Apa Sahaja Pilihanmu’ adalah program amal berkonsepkan free-market yang dianjurkan oleh pelajar subjek Prinsip Perhubungan Awam (DPM 3713) selama setengah hari bermula 10.00 pagi hingga 1.00 tengahari. Program ini disertai oleh seramai 25 orang pelajar subjek DPM 3173 dan para pensyarah. Kumpulan sasaran pula adalah semua pelajar Kolej INSTEDT. Program amal ini menyediakan barangan keperluan seperti makanan, pakaian dan alat ulis yang diberi secara percuma kepada individu yang datang berkunjung. Mereka bebas mengambil apa sahaja pilihan mereka tanpa perlu membayar apa-apa. Sebahagian objektif program ini adalah untuk memberi kefahaman yang lebih jelas mengenai aktiviti perhubungan awam khususnya tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang biasa diamalkan oleh organisasi dan melatih pelajar untuk berani serta yakin berkomunikasi dengan publik secara langsung.