Sunday 24 July 2016

Semai Kasih Siswa INSTEDT Kali Ke-3

Oleh: Nurunnadiah

DUN PENAWAR, 16 Julai 2016 – INSTEDT dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Siswa (HES) sekali lagi menganjurkan program berbentuk tanggungjawab sosial korporat (CSR) di sekitar DUN Penawar. Program yang diberi nama Semai Kasih Siswa INSTEDT ini turut mendapat kerjasama daripada ADUN Penawar iaitu YB Hamimah Mansor.

Program ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan antara institusi pengajian tinggi bersama komuniti setempat, selain dapat memupuk sikap prihatin masyarakat, dan menyemai semangat kesukarelawanan di kalangan siswa-siswi INSTEDT.

Kira-kira 20 orang sukarelawan terlibat dalam program ini yang terdiri daripada kakitangan & pelajar INSTEDT, ADUN Penawar (YB Hamimah), Ketua-ketua Kampung dan Beliawanis. Rumah-rumah terpilih telah dikenal pasti sebagai kategori asnaf dan kurang berkemampuan, yang terdapat di perkampungan Felda Sungai Mas, Felda Papan Timur, dan Kampung Baru Sungai Mas. Sumbangan yang diagihkan berbentuk barangan keperluan asas, yang telah dikumpul daripada INSTEDT dan sumbangan daripada ADUN Penawar. Selain itu, kontinjen sukarelawan turut bermarhaban di rumah-rumah tersebut sebagai meraikan mereka di Syawal ini. Majlis penutup bagi program ini diadakan di Dewan Serbaguna Felda Sungai Mas, sempena ‘Rumah Terbuka Felda Sungai Mas’.

Sekalung penghargaan diucapkan kepada semua yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung di dalam program “Semai Kasih Siswa INSTEDT”.  INSTEDT juga merakamkan jutaan terima kasih kepada ADUN Penawar yang sudi bersama-sama bagi menjayakan program ini.

Tahniah Bahagian Hal Ehwal Siswa INSTEDT! Semoga usaha murni kalian mendapat saham yang baik di sisiNya.