Wednesday 7 September 2016

TAZKIRAH DAKWAH DAN KOMUNIKASI 
TAMBAH KEYAKINAN PELAJAR

Oleh : Noorain

18 Ogos 2016. Masjid As-Syifa’ Bandar Penawar. Seramai sepuluh orang pelajar Diploma Pengajian Islam semester 5 telah menyampaikan tazkirah terbuka di Masjid As-Syifa’ Bandar Penawar. Tazkirah ini telah dikendalikan oleh Pensyarah Pengajian Islam iaitu Ustazah Najwa Bt Mohd Salleh. Tazkirah yang diadakan  ini  bukan sahaja sebagai kredit pembelajaran kepada pelajar semester 5, malahan sebagai satu nilai tambah untuk meningkatkan  keyakinan para pelajar pengajian Islam semester akhir. Dengan adanya program seperti ini juga boleh melahirkan modal insan yang berkualiti dan menepati kehendak pasaran masa kini.
  







Sunday 24 July 2016

Semai Kasih Siswa INSTEDT Kali Ke-3

Oleh: Nurunnadiah

DUN PENAWAR, 16 Julai 2016 – INSTEDT dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Siswa (HES) sekali lagi menganjurkan program berbentuk tanggungjawab sosial korporat (CSR) di sekitar DUN Penawar. Program yang diberi nama Semai Kasih Siswa INSTEDT ini turut mendapat kerjasama daripada ADUN Penawar iaitu YB Hamimah Mansor.

Program ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan antara institusi pengajian tinggi bersama komuniti setempat, selain dapat memupuk sikap prihatin masyarakat, dan menyemai semangat kesukarelawanan di kalangan siswa-siswi INSTEDT.

Kira-kira 20 orang sukarelawan terlibat dalam program ini yang terdiri daripada kakitangan & pelajar INSTEDT, ADUN Penawar (YB Hamimah), Ketua-ketua Kampung dan Beliawanis. Rumah-rumah terpilih telah dikenal pasti sebagai kategori asnaf dan kurang berkemampuan, yang terdapat di perkampungan Felda Sungai Mas, Felda Papan Timur, dan Kampung Baru Sungai Mas. Sumbangan yang diagihkan berbentuk barangan keperluan asas, yang telah dikumpul daripada INSTEDT dan sumbangan daripada ADUN Penawar. Selain itu, kontinjen sukarelawan turut bermarhaban di rumah-rumah tersebut sebagai meraikan mereka di Syawal ini. Majlis penutup bagi program ini diadakan di Dewan Serbaguna Felda Sungai Mas, sempena ‘Rumah Terbuka Felda Sungai Mas’.

Sekalung penghargaan diucapkan kepada semua yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung di dalam program “Semai Kasih Siswa INSTEDT”.  INSTEDT juga merakamkan jutaan terima kasih kepada ADUN Penawar yang sudi bersama-sama bagi menjayakan program ini.

Tahniah Bahagian Hal Ehwal Siswa INSTEDT! Semoga usaha murni kalian mendapat saham yang baik di sisiNya. 

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
  

Wednesday 20 July 2016

BUBUR LAMBUK MAHABBAH ERAT SILATURRAHIM




Oleh:Fazy Fazlya & Siti Noorain Binti Rahman






BANDAR PENAWAR, 24 Jun 2016 - Bertempat di dapur Teratai, satu program Bubur Lambuk Mahabbah telah dianjurkan oleh Jabatan Hospitaliti dan Jabatan Bahasa dan Pengajian Islam. Program ini yang diadakan saban tahun merupakan aktivititi tahunan Jabatan Hospitaliti dan buat pertama kalinya dua tenaga digabungkan.
Program ini diadakan untuk melahirkan semangat muhibah dan meningkatkan kesedaran rohani terhadap amalan bersedekah di bulan Ramadhan.
Program ini dimulakan dengan aktiviti gotong-royong pada awal pagi yang disertai oleh Ahli Jawatankuasa Hotel & Tourism Society (HATS) dan semua pelajar Diploma Pengurusan Perhotelan Semester 4 & 5 bersama pelajar Diploma Pengajian Islam.
Aktiviti berakhir dengan pengagihan bubur lambuk dan kuih raya kepada semua pelajar dan kakitangan kolej.

Wednesday 29 June 2016

Ramadhan Pergi Lagi...

Oleh : Sulaimi Arif  


Kali ini ia pergi seperti semalam baru dirasai,
Tanpa ku sedari ia pergi melalui peredaran masa yang pantas berpaksikan kitaran putaran bumi,
Adakah ramadhan ini yang terbaik dari diri ini atau sebalik nya, 
Mencari barakah bulan mulai yang menjenguk umat Islam setahun sekali,
Hari ini kita gembira meraikan peperangan hawa nafsu yang belum pasti esoknya dapat kita rasa lagi.

Lailatul Qadar rahsia Tuhan yang muncul sekali dalam sebulan,
Tetapi adakah kita dapat merasainya seperti mana orang-orang soleh dan solehah merasainya,
Sedang kita di hanyut keasyikan menyambut datangnya Aidilfitri,
Seperti kita mengetahui Ramadhan yang seterusnya dapat kita tempuhi lagi walhal hari esok belum kita tahu sudahnya.

Terima kasih Ramadhan, terima kasih atas pengajaran yang ditebarkan kepada pada pencari barkah mu,
Semoga kita bertemu lagi dengan penuh rasa rendah diri,
Hadir mu dirasai, pergi mu bakal dirindui.




مع السلامة والى القاءيا رمضان

   

 

MALAM LAILATUL QADAR

FADHILAT MALAM LAILATUL QADAR DAN KELEBIHANNYA


Oleh: Zuraini Othman

 

Lailatul Qadaradalah satu malam yang khusus terjadi di bulan Ramadan. Ayat al-Qur’an yang pertama dipercayai diturunkan pada malam ini. Malam ini disebut di dalam al-Qur’an dalam surah Al-Qadr, dan diceritakan lebih baik daripada seribu bulan.
Saat pasti berlangsungnya malam ini tidak diketahui namun menurut beberapa hadis, malam ini jatuh pada 10 malam terakhir pada bulan Ramadan, tepatnya pada salah satu malam ganjil yakni malam ke-21, 23, 25, 27 atau ke-29. Malah ada sebahagian ulama yang menganggap ia berlaku pada malam genap seperti malam 24 Ramadan. Walau bagaimanapun, antara hikmah malam ini dirahsiakan agar umat Islam rajin beribadat di sepanjang malam khususnya di sepuluh malam yang terakhir. Sebahagian Muslim biasanya berusaha tidak melewatkan malam ini dengan menjaga diri agar berjaga pada malam-malam terakhir Ramadan sambil beribadah sepanjang malam.

 LAILATULQADAR MALAM YANG DINANTI OLEH MUKMIN

10 akhir Ramadhan adalah merupakan di antara malam-malam yang penuh dengan keberkatan dan kelebihan yang tertentu. Malam-malam ini adalah merupakan malam yang ditunggu-tunggu oleh seluruh orang mukmin. Bulan Ramadhan, al-Quran dan malam Lailatulqadar mempunyai hubungan yang rapat antara satu sama lain sebagaimana yang diterangkan di dalam kitab Allah dan hadis Rasulullah s.a.w. di antaranya firman Allah s.w.t.
Maksudnya: “Sesungguhnya kami menurunkan al-Quran pada malam Lailatulqadar dan apakah yang menyebabkan engkau mengerti apa itu Lailatulqadar. Lailatulqadar lebih baik daripada 1000 bulan. Pada malam itu, para malaikat dan Jibril turun dengan keizinan daripada Tuhan mereka untuk setiap urusan. Malam ini sejahtera hingga terbit fajar”.
SURAH AL-QADR

Lailatulqadar mempunyai kelebihan yang begitu besar kerana lebih baik dari 1000 bulan yang lain. Sebab diturunkan ayat tersebut diriwayatkan daripada Mujahid dikatakan sebab turun ayat tersebut ialah Nabi s.a.w. telah menyebut tentang seorang lelaki daripada Bani Israel yang telah menggunakan alat senjatanya untuk berperang pada jalan Allah maka orang Islam pun kagum di atas perbuatan itu lalu Allah menurunkan ayat di atas.
Riwayat yang lain pula dari Ali bin Aurah pada satu hari Rasulullah telah menyebut 4 orang Bani Israel yang telah beribadah kepada Allah selama 80 tahun. Mereka sedikitpun tidak derhaka kepada Allah lalu para sahabat kagum dengan perbuatan mereka itu. Jibril datang memberitahu kepada Rasulullah bahawa Allah s.w.t. menurunkan yang lebih baik dari amalan mereka. Jibril pun membaca surah Al Qadar dan Jibril berkata kepada Rasulullah ayat ini lebih baik daripada apa yang engkau kagumkan ini menjadikan Rasulullah s.a.w. dan para sahabat amat gembira.
Daripada ayat di atas dapatlah kita ketahui bagaimana besar kelebihan orang yang beribadah pada malam lailatulqadar. Ianya satu malam menyamai beramal 1000 bulan.
Dalam hadis Rasulullah s.a.w. menyebut
Maksudnya: “Rasulullah bersungguh-sungguh beribadah pada 10 akhir bulan Ramadhan lebih daripada yang lainnya”
Rasulullah s.a.w. melakukan ibadah pada malam itu bukan hanya setakat baginda sahaja tetapi baginda menyuruh ahli keluarga bangun bersama beribadah. Kata Aisyah r.a.
Maksudnya: “Nabi s.a.w. apabila masuk 10 akhir bulan Ramadhan baginda mengikat kainnya. Menghidupkan malam dengan beribadah dan membangunkan keluarganya untuk sama-sama beribadah. Mengikat kainnya bermaksud bersungguh-sungguh mengerjakan ibadah.”
KELEBIHAN MENGHAYATI MALAM LAILATULQADAR

Kerana mulianya Lailatulqadar, Rasulullah s.a.w. menganjurkan supaya umatnya bersedia menyambut dan menghayati malam yang berkat itu dengan pelbagai jenis amalan dan ibadah yang diterangkan di antaranya hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a.
Maksudnya: “Barangsiapa menghayati malam Lailatulqadar dengan mengerjakan sembahyang dan berbagai jenis ibadat yang lain sedang ia beriman dan mengharapkan rahmat Allah s.w.t  nescaya ia diampunkan dosanya yang terdahulu.
Rasulullah s.a.w. sendiri menjadi contoh yang baik yang menghayati malam lailatulqadar terutama 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan dengan beriktikaf di Masjid mengerjakan pelbagai amal ibadah untuk menyambut malam Lailatulqadar yang mulia.
Ini diterangkan di dalam satu hadis diriwayatkan daripada Aishah r.a. Katanya:
Maksudnya: “Biasanya Rasulullah s.a.w. berusaha dengan bersungguh-sungguh memperbanyakan amal ibadah pada 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan berbanding dengan masa yang lain.”
Dalam hadis yang lain Aishah juga meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui malam Lailatulqadar pada malam-malam yang ganjil dalam 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan.
Terdapat juga hadis yang mengatakan bahawa baginda Rasulullah s.a.w. menjawab pertanyaan seorang sahabat yang bertanya mengenai masa Lailatulqadar supaya ianya bersedia dan menghayatinya. Baginda menjelaskan malam Lailatulqadar itu adalah malam 27 Ramadhan. Dari keterangan-keterangan di atas dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa malam Lailatulqadar itu berpindah dari satu tahun ke satu tahun yang lain di dalam lingkungan 10 malam yang akhir dari bulan Ramadhan.
Yang pastinya bahawa masa berlakunya malam Lailatulqadar itu tetap dirahsiakan oleh Allah s.w.t. supaya setiap umat Islam menghayati 10 malam yang akhir daripada Ramadhan dengan amal ibadat. Kerana dengan cara itulah sahaja mudah-mudahan akan dapat menemuinya dan dapat pula rahmat yang diharapkan yang akan menjadikan seseorang itu hidup bahagia di dunia mahupun di akhirat.


SUMBER: https://muslim.or.id/28232-carilah-keutamaan-malam-lailatul-qadar.html