Monday 20 June 2016

PROGRAM KESEDARAN KESIHATAN MENGENAI HIV/ AIDS & PENYAKIT KELAMIN (STD) DAN PROGRAM NAFAS BARU BERMULA RAMADHAN (PROGRAM BERHENTI MEROKOK)


Oleh: Nurunnadiah

BANDAR PENAWAR, 15 Jun 2016 - Pejabat Kesihatan Kota Tinggi dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Siswa (HES) INSTEDT telah menjalankan Program Kesedaran Kesihatan Mengenai HIV/ AIDS & Penyakit Kelamin (STD) dan Program Nafas Baru Bermula Ramadhan  (Program  Berhenti Merokok), bertempat di BK 2 INSTEDT. 

Program yang dikendalikan oleh Unit Kawalan Penyakit Berjangkit dan Unit Pendidikan Kesihatan, Pejabat Kesihatan Daerah Kota Tinggi ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran pelajar dan kakitangan mengenai HIV/ AIDS dan risiko Penyakit Kelamin iaitu Sexual Transmitted Diseases (STD). Selain itu, ia juga bertujuan untuk memberi kesedaran akan keburukan merokok bagi tempoh jangka masa panjang kepada perokok dan perokok sekunder. 

Peserta program ini terdiri daripada pelajar-pelajar Diploma Kesetiausahaan Kesihatan INSTEDT. Program dimulakan dengan slot Ceramah Berhenti Merokok yang disampaikan oleh Dr Hanisa Firdauz binti Sukirman (Pegawai Perubatan Kesihatan). Seterusnya peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk membuat perbincangan berkaitan topik dan soalan yang diberikan. Setiap kumpulan juga perlu menyelesaikan case study, dengan dibimbing oleh fasilitator-fasilitator dari Pejabat Kesihatan yang terdiri daripada pegawai dan jururawat. Di akhir program, pelajar  perlu membuat pembentangan tugasan masing-masing, dan 4 kumpulan yang terbaik telah dipilih sebagai pemenang. 

Terima kasih kepada pihak Pejabat Kesihatan Kota Tinggi atas kesudian menjalankan program kesedaran kesihatan ini di INSTEDT. Semoga program seumpama ini dapat memberi impak yang positif kepada pelajar khususnya dan masyarakat amnya.