Wednesday 15 February 2017

PROGRAM SUKARELAWAN DI MADRASAH TAHFIZ AL-QURAN AL-FAIZIN

Oleh: Zulkifli



KEMPAS, JOHOR, 11 FEBRUARI 2017 - Persatuan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan INSTEDT (PEKEKWA) telah menganjurkan program sukarelawan bersama pihak pengurusan dan pelajar-pelajar dari Madrasah Tahfiz Al-Quran Al-Faizin, Kempas, Johor Bahru. Seramai 91 orang pelajar dari madrasah tersebut telah mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan. Tujuan program ini adalah untuk merapatkan jurang antara pelajar kolej dan masyarakat agar dapat bekerjasama membentuk modal insan berguna. Antara aktiviti yang telah dijalankan adalah seperti penerangan dan penghasilan seni kaligrafi, gotong-royong, dan membuat mural. Menurut pengetua madrasah ini, Ustaz Abu Hafiz, program seperti ini amat digalakkan agar dapat mendedahkan para pelajar dengan masyarakat serta memupuk nilai kerjasama antara satu sama lain. Beliau juga berharap agar kolej INSTEDT dapat menganjurkan program seperti ini lagi




















Wednesday 25 January 2017

JUALAN KONVOKESYEN INSTEDT KALI KE-11

Oleh: Sabariah


JOHOR BAHRU, 19 November 2016 – Sempena Majlis Konvokesyen Institut Sains dan Teknologi Darul Takzim (INSTEDT) kali ke-11 yang telah diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Jabatan Kejururawatan Sains Kesihatan telah membuat jualan konvokesyen bertempat di lobi Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor.  Jualan ini telah dikendalikan oleh seramai 6 orang pelajar Kejururawatan yang diketuai oleh Cik Radhiah Razman selaku Penasihat Persatuan Kejururawatan INSTEDT. Barangan jualan konvo berupa patung beruang, bunga dan coklat yang turut digubah sendiri oleh pelajar. Barangan jualan berharga sekitar RM15 hingaa RM30 sejambak gubahan. Tujuan jualan konvokesyen ini adalah untuk menambahkan dana persatuan. Setiap hasil jualan ini akan dimasukkan ke tabung Persatuan Kejururawatan INSTEDT.







MISI BANTUAN DUTA JAUHAR DNUR

Oleh: Sabariah


JOHOR BAHRU, 25 Oktober 2016 – Duta Jauhar Dnur telah memberikan misi bantuan kepada Hospital Sultanah Aminah yang mengalami kebakaran. Misi bantuan ini di ketuai oleh  Tn Hj Muhsin Ismail yang telah memberikan sumbangan bantuan berbentuk minuman kepada mangsa dan kakitangan Hospital Sultanah Aminah. Di samping itu juga Duta Jauhar INSTEDT bekerjasama dengan pihak Yayasan Pelaran Johor (YPJ) menjalankan aktiviti sukarelawan untuk memberi bantuan kepada mangsa dan kakitangan yang terlibat dalam kebakaran di Hospital Sultanah Aminah. Semua sumbangan dan bantuan dapat diagihkan dengan baik.




DUTA JAUHAR INSTEDT BANTU IBU TUNGGAL

Oleh: Sabariah


KOTA TINGGI - Seramai 15 sukarelawan Duta Jauhar INSTEDT yang terdiri daripada pelajar Diploma Kejururawatan bergotong-royong bersama penduduk Felda Bukit Waha membersihkan, membaik pulih dan mengecat bangunan sempena penubuhan pusat aktiviti untuk ibu tunggal di sini. Pusat aktiviti itu bakal menjadi tempat ibu tunggal di kampung berkenaan menjalankan perniagaan aiskrim yang telah dipelajari daripada Duta Jauhar INSTEDT.  Pengerusi Persatuan Ibu Tunggal Felda Bukit Waha, Puan Rossita Saryani yang turut menyertai aktiviti mengecat meluahkan rasa terharu atas usaha dan kerjasama semua pihak membantu golongan ibu tunggal di kawasan berkenaan.  “Selepas ini ibu tunggal boleh menjalankan perniagaan aiskrim sendiri dan secara tidak langusng membantu kami melalui hasil pendapatan yang diterima.  “Kita ucapkan terima kasih kepada Duta Jauhar yang telah banyak memberi  peluang kepada ibu tunggal untuk maju ke hadapan,” katanya. Turut hadir menjayakan program bakti amal itu, Pengurus Felda Bukit Waha, Encik Hamidon Aris dan Ketua Kampung Felda Bukit Waha, Encik Abd Azizi Bakar. 



Thursday 19 January 2017

DUTA JAUHAR INSTEDT GASI DEKATI ASNAF DI KAMPUNG SENTOSA SEDILI

Oleh: Husaini Ab. Raji



KOTA TINGGI, 4 Disember 2016 - Duta Jauhar Instedt GASI dengan kerjasama Jawatankuasa Pemuda UMNO Cawangan Kampung Sentosa Sedili telah mengadakan Program Ziarah Kasih untuk menyantuni dan menyampaikan bantuan kepada golongan asnaf di kampung tersebut. Program yang disertai oleh 40 peserta terdiri daripada Duta Jauhar Instedt GASI dan Jawatankuasa Pemuda UMNO Cawangan Kampung Sentosa Sedili ini dimeriahkan lagi dengan konvoi berbasikal ke rumah-rumah golongan asnaf tersebut. Konvoi berbasikal Ziarah Kasih ini telah mengunjungi lima rumah ibu tunggal dan menyerahkan sumbangan barangan keperluan harian bagi meringankan beban mereka. Penyelia Duta Jauhar Instedt GASI, Siti Nur Sarah Ab Aziz berkata program ini merupakan tanggungjawab sosial terhadap komuniti setempat.Menurutnya, konvoi berbasikal yang dimulakan di kawasan Legaran Air Putih itu dianjurkan serentak dengan pelancaran Laman Herba Jauhar di kampung berkenaan yang digerakkan kumpulan Duta Jauhar Instedt GASI sebagai salah satu tarikan baru pelancongan di Sedili selaras dengan tema projek kami iaitu Transquil Sedili." Program tersebut turut disertai Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kota Tinggi, Muhammad Fadzli  Hasan dan Ketua Pemuda UMNO Cawangan Kampung Sentosa Sedili, Mohd Fauzan Sebalas. 






MENJANA PENDAPATAN ONLINE MELALUI PROGRAM eREZEKI

Oleh: Husaini Ab. Raji

JOHOR BAHRU, 15 Januari 2019 – INSTEDT telah menghantar seramai 8 orang kakitangan dan 25 orang pelajar bagi mengikuti program menjana pendapatan tambahan menggunakan teknologi digital yang dikenali sebagai eRezeki.
Program berkenaan yang berkonsepkan penyumberan awam akan memberi latihan kemahiran percuma dalam bidang digital kepada golongan berpendapatan rendah B40 sebelum mereka diberi tugasan yang menawarkan bayaran lumayan daripada syarikat-syarikat digital di pasaran.  Menurut fasilitator program berkenaan Suriani Manaf, program transformasi nasional yang dikendalikan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia Pembangunan Multimedia (MDEC) ini bakal menjana pendapatan tambahan kepada golongan berpendapatan rendah termasuk pesara, suri rumah, siswazah menganggur dan pelajar yang sedang mengikuti pengajian.
Katanya, kebanyakan tugasan boleh dilakukan dari rumah seperti memasukkan data ke dalam sistem komputer, menyemak kesesuaian gambar dan transkripsi video atau audio sebelum diterbitkan. Wakil daripada bahagian Hal Ehwal Siswa, Siti Zuraini Keliwon menjelaskan beliau sangat teruja dengan program ini yang dapat memberikan sumber pendapatan tambahan dan berharap akan lebih ramai lagi rakan-rakan dan pelajar dapat mendaftar dalam program ini.







PROGRAM TREE FOR A TREE PERINGKAT NEGERI JOHOR

Oleh : Husaini Ab. Raji



PERMAS JAYA, 15 Januari 2017 – Seramai 40 orang pelajar Institut Sains dan Teknologi Darul Takzim (INSTEDT) telah dipilih sebagai sukarelawan dalam menjayakan program “Tree For A Tree” yang dianjurkan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) hari ini dengan kerjasama Majlis Bandaraya Joor Bahru (MBJB) dan Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA).  Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) TNB ini menzahirkan komitmen syarikat tersebut terhadap usaha pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar.
Penyertaan pelajar INSTEDT sebagai sukarelawan ini adalah sebagai tanda sokongan kepada program penghijauan alam sekitar.  Program “Tree For A Tree” peringkat negeri Johor ini telah dirasmikan oleh YAB Menteri Besar Johor Dato’ Mohamed Khaled Nordin.  Kira-kira 300 anak pokok telah ditanam dari spesis Bucida, Bintangor Bukit, Tembusu Padang, Penaga Lilin, dan Tekoma atau lebih dikenali dengan nama Sakura di Kawasan Hijau, Jalan Permas 6/10, Bandar Baru Permas Jaya, Johor Bahru.  Selain pelajar INSTEDT, program hari ini disertai kira-kira 200 orang sukarelawan terdiri daripada warga kerja TNB, warga kerja MBJB, para pelajar kolej Komuniti Pasir Gudang, Kolej Politech MARA dan penduduk setempat.





Wednesday 18 January 2017

MUHAMMAD RAIHAN BIN SOHIMI

Oleh : Marlina

“Assalammualaikum dan salam sejahtera. Saya merupakan graduan Diploma Pengurusan dan Perniagaan (DPP) INSTEDT sesi Mei 2013 dan kini sedang melanjutkan pelajaran di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Pemasaran (Kepujian). Sepanjang 3 tahun belajar di INSTEDT, saya dapati para pensyarah memberikan ilmu cukup bernilai kepada semua pelajar dan mereka sentiasa mempelbagaikan corak pengajaran agar pelajar mudah memahami sesuatu subjek. Tambahan pula dengan adanya Latihan Industri dan Praktis Klinikal, ia memberikan saya banyak pengalaman dan dapat memperbaiki prestasi saya dalam menjalankan tugas sebagai ‘pekerja sementara’ di tempat latihan industri suatu ketika dahulu.  Saya amat berterima kasih dan menghargai seluruh warga Institut Sains dan Teknologi Darul Takzim (INSTEDT) kerana telah memberikan satu era baru yang mencorakkan diri saya sebagai seorang manusia berjaya yang kini berpeluang menyambung pelajaran di peringkat ijazah. Terima kasih, INSTEDT”.




“INSTEDT PILIHANKU”

BULAN BAHASA KEBANGSAAN DAN KEMERDEKAAN CETUS SEMANGAT PATRIOTIK

Oleh : Noorain Rahman

28 Ogos 2016. INSTEDT. Bulan Bahasa Kebangsaan dan Kemerdekaan (BBKK) telah diadakan pada 28 Ogos hingga 21 September 2016 yang bertempat di Lobi INSTEDT. Program ini bertujuan untuk menanam semangat patriotik kepada para pelajar dan juga kakitangan INSTEDT. Program ini bukan sahaja diadakan  sempena menyambut bulan kemerdekaan, tetapi juga dilakukan untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Antara pertandingan yang telah dianjurkan oleh Jabatan Bahasa dan Pengajian Islam dengan kerjasama Hal Ehwal Siswa INSTEDT ialah pertandingan lukisan poster, pertandingan busana patriotik, pertandingan penulisan kreatif, pertandingan nyanyian patriotik, pertandingan deklamasi sajak dan juga treasure hunt sempena bulan kemerdekaan. Manakala aktiviti sudut ucapan kemerdekaan dan tayangan video patriotik turut menjadi tumpuan para pelajar dan kakitangan INSTEDT. Bertemakan ‘Bahasa Teras Jiwa Merdeka’, program ini merupakan acara wajib yang sentiasa mendapat sambutan hangat dalam  kalangan pelajar dan kakitangan INSTEDT.











SAMBUTAN MAULIDUR RASUL ERAT HUBUNGAN PELAJAR DAN MASYARAKAT

Oleh : Noorain Rahman


BANDAR PENAWAR, 22 Disember 2016 - Surau Al-Muttaqin Taman Desaru Utama. Seramai 20 orang pelajar Diploma Pengajian Islam dan Diploma Kejururawatan telah menjadi sukarelawan untuk menjayakan sambutan maulidur rasul di Surau Al-Muttaqin Taman Desaru Utama. Tema program ialah “Ukhuwah Islamiah Asas Penyatuan Ummah’ yang dianjurkan oleh Kelab Rukun Tetangga (KRT) di Taman Desaru Utama dengan kerjasama JPMM DUN Penawar.  Program ini mendapat sambutan yang sangat meriah oleh penduduk setempat. Sambutan yang bermula dengan bacaan berzanji manakala  pada waktu petang pula program selawat yang  diketuai oleh ADUN Penawar, YB Puan Hjh Hamimah Binti Mansor.  Sambutan itu diteruskan dengan pertandingan mewarna dan juga pertandingan azan bagi kanak-kanak. Pada sebelah malamnya pula, ceramah sambutan maulidur rasul oleh juara pencetus ummah musim pertama iaitu PU Hafiz mendapat sambutan yang memberangsangkan oleh penduduk setempat terutamanya warga kerja Pengerang. Sambutan ini diakhiri dengan jamuan makan nasi beryani di dalam dulang.



PROGRAM SUKARELAWAN BERSAMA WARGA TADIKA SUNGAI REDAN

Oleh: Zulkifli Zaini


KOTA TINGGI, 14 JANUARI 2017 - Persatuan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (PERKEKWA) INSTEDT telah menganjurkan program sukarelawan bersama warga Tadika Sungai Redan, Kota Tinggi.  Program yang dianjurkan ini bertujuan untuk menjalinkan hubungan silaturahim dan memupuk semangat kerjasama antara pelajar IPT dan komuniti setempat. Oleh itu, pelbagai program menarik dan bersesuaian telah dirangka dan dijalankan bersama-sama guru-guru, ibu bapa serta murid-murid tadika di sana. Antara program yang telah dijalankan seperti gotong-royong dan beberapa jenis permainan sukan rakyat.