Thursday 12 May 2016

SIHAT, CERGAS BERSAMA INSTEDT

Oleh: Nurunnadiah

BANDAR PENAWAR, 12 Mac 2016 – Institut Sains dan Teknologi Darul Takzim (INSTEDT) dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Siswa, Bahagian Kolej Kediaman, dan Majlis Perwakilan Pelajar 2015/2016 telah menganjurkan Hari Sukan INSTEDT bertempat di Dataran Delima INSTEDT. Aktiviti ini julung kali diadakan dan bertujuan untuk memupuk semangat kesukanan dan berpasukan dalam kalangan mahasiswa INSTEDT. Sebanyak tiga acara telah dipertandingkan iaitu perlawanan Bola Jaring, Street Soccer, dan Bola Tampar yang mana perlawanan berkonsepkan 3 on 3. Menurut En Azuan Sulaiman selaku Jawatankuasa Pelaksana, perlawanan bagi ketiga-tiga acara sukan ini melibatkan penyertaan dari wakil mahasiswa Jabatan-Jabatan Akademik INSTEDT iaitu JPP, JSK, JUU, JKSK, JBPI, dan JH. Setiap Jabatan perlu menghantar dua pasukan bagi setiap acara, dan setiap pasukan terdiri daripada tiga (3) orang.  Program ini telah dirasmikan oleh En Fairurezdvi bin Kassim selaku Pengurus Bahagian Kolej Kediaman INSTEDT. Hadiah kemenangan berupa Piala menjadi milik pasukan-pasukan yang meraih Johan bagi setiap acara, iaitu JUU bagi perlawanan Bola Jaring; JBPI bagi Street Soccer; dan JPP bagi Bola Tampar. Semoga program seumpama ini dapat diteruskan dalam melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja cerdas pemikiran tetapi cergas fizikal serta seimbang intelektual dan spiritual. 





FESTIVAL KESENIAN ISLAM (FESKI) INSTEDT 2016

Oleh : Noorain Rahman

INSTEDT,27 Januari 2016- Festival Kesenian Islam (FESKI) telah diadakan pada 27 dan 28 Januari 2016 yang bertempat di Lobi INSTEDT dan Dataran Asrama Delima. Program ini bertujuan untuk mengajak para pelajar INSTEDT untuk menonjolkan bakat yang ada dalam diri mereka dan mengambil kesempatan untuk mentransformasikan diri ke arah menjadi pelajar yang baik dari sudut rohani, jasmani, intelek dan emosi. Bertemakan ‘Semarak Budaya Islam’, festival ini mendapat sambutan bukan sahaja dalam kalangan pelajar yang beragama Islam bahkan dari pelajar Cina dan juga India. Antara aktiviti yang telah dianjurkan oleh Jabatan Bahasa dan Pengajian Islam dengan kerjasama Hal Ehwal Siswa INSTEDT ialah perarakan serta selawat dan Ceramah Perdana oleh Da’I Lokman TV3, pertandingan khat, pertandingan azan, pertandingan nasyid, pertandingan kuiz silang kata, pertandingan video sirah nabi, pertandingan sketsa, pertandingan busana Muslim dan Muslimah dan pameran kesenian Islam. Festival ini juga memberi peluang kepada pelajar-pelajar untuk berniaga dan menyertai gerai jualan yang diadakan dan dibuka juga kepada pihak luar. Antara pihak yang terlibat ialah Lembaga Tabung Haji Kota Tinggi, Pejabat Agama Islam Kota Tinggi, AVON dan beberapa lagi pihak lain. Penyampaian hadiah kepada para pelajar yang memenangi pertandingan-pertandingan yang telah dianjurkan  telah disampaikan oleh Timbalan Ketua Eksekutif I, Che Hussin Bin Che Pa pada malam kemuncak di Dataran Asrama Delima.




CUNGKIL BAKAT MEMASAK DAN PENGENDALIAN MAKANAN PELAJAR

Oleh: Fazy Fazlia


BANDAR PENAWAR, Februari 2016- Bertempat di Dapur Latihan dan Restoran Teratai, Kolej INSTEDT, telah berlangsungnya tugasan praktikal secara berkumpulan bagi pelajar Diploma Pengurusan Perhotelan yang mengambil kursus Food and Beverage Management dan Food and Beverage Operation. Pelajar semester 3 memainkan peranan di bahagian pengurusan restoran manakala pelajar semester 5 mengendalikan pengurusan dapur. Objektif utama program praktikal ini diadakan untuk memberi ruang kepada pelajar mengaplikasikan teknik-teknik pengendalian makanan yang telah dipelajari di  dalam kelas. Di samping itu, ia dapat mendedahkan pelajar terhadap situasi sebenar alam pekerjaan khususnya dalam bidang pengurusan makanan. Menu yang ditawarkan adalah berkonsepkan Table D’hote yang mana pelanggan restoran ini adalah terdiri daripada pelanggan luar.



PROGRAM PEMANTAPAN ALUMNI INSTEDT

Oleh: Khiruniza

INSTEDT, 6 April 2016 - Sempena minggu pendaftaran pada bulan April, Mei dan Jun, Institut Sains dan Teknologi Darul Takzim (INSTEDT) telah mengadakan program pemantapan alumni melibatkan semua kakitangan serta pensyarah-pensyarah akademik. Tujuan program ini dijalankan adalah untuk meningkatkan kualiti serta menjalinkan hubungan dengan komuniti khususnya pelajar lepasan diploma INSTEDT dengan masyarakat. Program ini telah disampaikan oleh Prof. Madya Dr.Ong Chee Tiong yang merupakan pensyarah daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Beliau juga bergiat aktif dalam menggerakkan organisasi alumni UTM ke seluruh Malaysia dan luar negara termasuk Indonesia. Pelbagai kaedah interaktif dan aktiviti berkumpulan dalam kalangan pensyarah serta kakitangan juga diterapkan bagi menubuhkan alumni INSTEDT yang mantap.


INSTEDT JEMPUTAN KE VOLUNTEER MALAYSIA AWARDS

Oleh: Nadiah



PUCHONG, 9 April 2016 – Bersempena program Volunteer Malaysia Awards, Duta Jauhar Institut Sains dan Teknologi Darul Takzim (INSTEDT) telah dijemput oleh pihak 1 Malaysia for Youth ke iM4U Sentral untuk menerima Anugerah Inisiatif Kesukarelawanan Terbaik 2015. Anugerah ini telah disampaikan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak yang melihat program kesukarelawanan Malaysia ini dapat memupuk semangat kepimpinan di kalangan belia. Projek ‘Knowledge for Wellness’ yang telah diusahakan oleh 15 orang para pelajar semester empat hingga enam Diploma Kejururawatan INSTEDT sebelum ini juga telah dinobatkan sebagai pemenang pertama keseluruhan Kongres Duta Jauhar 2.0 bertempat di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).







Monday 9 May 2016

PELUANG PRAKTIKAL BERSAMA PUTERI HARBOUR

Oleh: Radziatul Shima Binti Mohd Shah

INSTEDT, 7 April 2016 - Keupayaan pelajar-pelajar INSTEDT dalam pelbagai bidang telah diperakui oleh banyak majikan pelbagai industri. Ini terbukti apabila pihak Puteri Harbour sendiri telah menawarkan pelajar-pelajar INSTEDT menjalani praktikal di Puteri Harbour, Nusajaya, Johor. Pengurus Sumber Manusia Puteri Harbour, Pn. Aishah Abdullah telah menyampaikan taklimat latihan industri kepada para pelajar INSTEDT. Kebolehpasaran graduan INSTEDT sebagai alumni sebuah kolej swasta milik Bumiputera ini jelas menunjukkan peluang kedua mereka disini amat cerah.



LATIHAN INDUSTRI PERTAMA DIPLOMA KESETIAUSAHAAN KESIHATAN

Oleh: Nadiah


JOHOR BHARU, 1 April 2016 – Seramai 24 orang kumpulan pertama Diploma Kesetiausahaan Kesihatan telah selesai dengan jayanya menjalani latihan industri yang merupakan syarat wajib kolej setelah lima semester menjalani pengajian sebelum menerima segulung diploma. Latihan industri ini dilaksanakan bertujuan untuk mendedahkan para pelajar dengan dunia pekerjaan yang sebenar serta menyediakan para pelajar dengan cabaran kerjaya dari segi mental, fizikal dan psikososial. Kumpulan pertama diploma ini bukan saja berjaya diterima sebagai pelatih di sektor swasta bahkan menjalani latihan industri di hospital awam dan pusat kesihatan awam. Ini menunjukkan pengiktirafan sektor swasta dan awam terhadap Diploma Kesetiausahaan Kesihatan ini walaupun julung kalinya produk pertama ini bakal keluar ke industri kesihatan tidak lama lagi.

MOTIVASI PERSEDIAAN PEPERIKSAAN

Oleh: Nurunnadiah


BANDAR PENAWAR, 16 MAC 2016 – Unit Kaunseling Insitut Sains dan Teknologi Darul Takzim (INSTEDT) telah menganjurkan Program Motivasi Persediaan Peperiksaan, yang disasarkan khusus bagi mahasiswa INSTEDT sebagai persediaan sebelum menghadapi peperiksaan akhir semester. Program ini bertujuan memberi pendedahan kepada mereka berkaitan pemantapan kendiri yang perlu ada dalam diri setiap pelajar, serta kaedah pengiraan Purata Nilai Gred subjek yang diambil. Program ini telah dijalankan di Bilil Kuliah 16 INSTEDT, dan terbahagi kepada dua slot iaitu Motivasi Belajar dan Skor A yang telah dikendalikan oleh Kaunselor INSTEDT, En Muhamad Azlan Mahmud. Manakala slot kedua bawah kendalian Kaunselor Pelatih, Pn Nur Ismilida ialah Smart Study dan Amalan Pelajar Cemerlang. Selain itu, antara objektif program ini adalah untuk membuka minda pelajar tentang kepentingan sahsiah dan kecemerlangan akademik dalam kehidupan, membangkitkan kesedaran pelajar tentang pentingnya penerapan ilmu dalam menjalani kehidupan, dan membantu mahasiswa/i membuat perancangan subjek secara berkesan dalam mencapai skor penilaian yang baik. Semoga program seperti ini dapat dijalankan secara berterusan pada masa akan datang dalam membantu kecemerlangan dan sahsiah mahasiswa INSTEDT.





KURSUS PENGURUSAN JENAZAH

 Oleh : Noorain Rahman

BANDAR PENAWAR, 24 Februari 2016- KEMAS dengan kerjasama Masjid As-Syifa’ Bandar Penawar telah menganjurkan satu kursus pengurusan jenazah yang telah diadakan di Masjid As-Syifa’ Bandar Penawar. Penyertaan seramai lebih 50 orang termasuk pelajar sekolah rendah, sekolah menengah, pelajar IPT dan juga ahli rukun tetangga Bandar Penawar ini mendapat sambutan yang sangat baik. Taklimat mengenai kursus ini telah disampaikan oleh imam Masjid As-Syifa iaitu Imam Ahmad bin Sonkerim. Kursus yang bermula pada jam 9 pagi ini memberi pendekatan kepada ahli keluarga yang terdekat untuk menyempurnakan ahli keluarga yang meninggal dunia. Kursus ini juga memberi satu garis panduan kepada yang masih hidup terhadap kewajipan menyempurnakan jenazah.








CORPORATE SOCIAL RESPONSIBILTY (CSR)

Oleh : Fazy Fazlya


PARIT, Pada 24 Januari 2016-  Seramai 43 orang pelajar yang terdiri daripada pelajar Semester 4 Diploma Pengurusan Pelancongan dan Perhotelan telah menganjurkan satu lawatan muhibah ke rumah Anak-Anak Yatim Bait Al Amin di Parit, Perak. Objektif utama program ini antara lain ialah menjalinkan hubungan yang berterusan antara pihak kolej INSTEDT dengan pihak luar dalam program Corporate Social Responsibility (CSR)  di samping memberi pendedahan kepada para pelajar tentang kehidupan anak-anak yatim tersebut.  Dalam lawatan ini, beberapa aktiviti telah dianjurkan seperti aktiviti suai kenal dan  gotong-royong. Lawatan ini berakhir dengan majlis penyampaian hadiah dan cenderamata sumbangan dan derma daripada pelbagai pihak dari kolej INSTEDT.

HIDUP SIHAT BERSAMA INSTEDT

Oleh: Khiruniza

LENGGING, 19 Februari 2016 - Seramai 42 orang pelajar semester dua daripada pelajar Diploma Pengajian Sukan telah mengajurkan program yang diberi nama ‘Program Nature X Camp’. Program selama tiga hari dua malam ini bermula pada 19 hingga 21 Februari 2016 bertempat di Excel Training Resort, Lengging, Negeri Sembilan.  Perlaksanaan program ini adalah berbentuk perkhemahan dan senamrobik mengikut tentatif program ketenteraan selaras dengan seruan kerajaan dalam pembangunan rakyat yang produktif, sihat serta cergas . Rasional mengadakan kem seperti ini adalah untuk membangunkan institusi masyarakat yang sihat dan memberi peluang dalam peningkatan nilai moral kesihatan yang positif kepada para pelajar dan komuniti setempat khususnya pelajar dari INSTEDT sendiri.


 

KEJOHANAN SUKAN INSTITUSI PENDIDIKAN TINGGI (SUKIPT) 2016

Oleh: Sulaimi

JOHOR BAHRU, 25 Januari 2016 – Seramai 8 000 orang atlit dari 20 buah IPTA & IPTS bersama lima buah kontinjen mewakili Negara-negara ASEAN telah menyertai Kejohanan Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) bagi tahun 2016. Acara ini berlangsung di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Johor Bahru dari 25 Januari sehingga 5 februari 2016. INSTEDT telah menghantar lima orang pelajar yang merupakan atlet daripada Diploma Pengajian Sukan. Empat atlet INSTEDT telah menyertai acara balapan dan padang, seorang lagi mewakili acara taekwando. Syed Iqbal Bin Syed Jamalil telah meraih naib johan mewakili acara balapan dan padang iaitu acara Lontar Peluru dan Mohd Naim Bin Mohd Zamri yang mendapat tempat kesepuluh dalam acara larian 10 000 meter. Program melibatkan gabungan IPTA & IPTS seperti ini seharusnya diteruskan dalam kalangan siswa dan siswi bagi melahirkan atlet pelapis negara pada masa akan datang.