FADHILAT MALAM LAILATUL QADAR DAN KELEBIHANNYA
Oleh: Zuraini Othman
‘Lailatul Qadar’ adalah satu malam yang khusus
terjadi di bulan Ramadan. Ayat al-Qur’an yang pertama dipercayai diturunkan
pada malam ini. Malam ini disebut di dalam al-Qur’an dalam surah Al-Qadr, dan
diceritakan lebih baik daripada seribu bulan.
Saat pasti berlangsungnya malam ini tidak diketahui namun
menurut beberapa hadis, malam ini jatuh pada 10 malam terakhir pada bulan
Ramadan, tepatnya pada salah satu malam ganjil yakni malam ke-21, 23, 25, 27
atau ke-29. Malah ada sebahagian ulama yang menganggap ia berlaku pada malam
genap seperti malam 24 Ramadan. Walau bagaimanapun, antara hikmah malam ini
dirahsiakan agar umat Islam rajin beribadat di sepanjang malam khususnya di
sepuluh malam yang terakhir. Sebahagian Muslim biasanya berusaha tidak melewatkan
malam ini dengan menjaga diri agar berjaga pada malam-malam terakhir Ramadan
sambil beribadah sepanjang malam.
LAILATULQADAR MALAM YANG DINANTI OLEH MUKMIN
10 akhir Ramadhan adalah merupakan di antara malam-malam yang
penuh dengan keberkatan dan kelebihan yang tertentu. Malam-malam ini adalah
merupakan malam yang ditunggu-tunggu oleh seluruh orang mukmin. Bulan Ramadhan,
al-Quran dan malam Lailatulqadar mempunyai hubungan yang rapat antara satu sama
lain sebagaimana yang diterangkan di dalam kitab Allah dan hadis Rasulullah
s.a.w. di antaranya firman Allah s.w.t.
Maksudnya: “Sesungguhnya kami menurunkan al-Quran pada malam
Lailatulqadar dan apakah yang menyebabkan engkau mengerti apa itu
Lailatulqadar. Lailatulqadar lebih baik daripada 1000 bulan. Pada malam itu,
para malaikat dan Jibril turun dengan keizinan daripada Tuhan mereka untuk
setiap urusan. Malam ini sejahtera hingga terbit fajar”.
SURAH AL-QADR
Lailatulqadar mempunyai kelebihan yang begitu besar kerana lebih
baik dari 1000 bulan yang lain. Sebab diturunkan ayat tersebut diriwayatkan
daripada Mujahid dikatakan sebab turun ayat tersebut ialah Nabi s.a.w. telah
menyebut tentang seorang lelaki daripada Bani Israel yang telah menggunakan
alat senjatanya untuk berperang pada jalan Allah maka orang Islam pun kagum di
atas perbuatan itu lalu Allah menurunkan ayat di atas.
Riwayat yang lain pula dari Ali bin Aurah pada satu hari
Rasulullah telah menyebut 4 orang Bani Israel yang telah beribadah kepada Allah
selama 80 tahun. Mereka sedikitpun tidak derhaka kepada Allah lalu para sahabat
kagum dengan perbuatan mereka itu. Jibril datang memberitahu kepada Rasulullah
bahawa Allah s.w.t. menurunkan yang lebih baik dari amalan mereka. Jibril pun
membaca surah Al Qadar dan Jibril berkata kepada Rasulullah ayat ini lebih baik
daripada apa yang engkau kagumkan ini menjadikan Rasulullah s.a.w. dan para
sahabat amat gembira.
Daripada ayat di atas dapatlah kita ketahui bagaimana besar
kelebihan orang yang beribadah pada malam lailatulqadar. Ianya satu malam
menyamai beramal 1000 bulan.
Dalam hadis Rasulullah s.a.w. menyebut
Maksudnya: “Rasulullah bersungguh-sungguh beribadah pada 10
akhir bulan Ramadhan lebih daripada yang lainnya”
Rasulullah s.a.w. melakukan ibadah pada malam itu bukan hanya
setakat baginda sahaja tetapi baginda menyuruh ahli keluarga bangun bersama
beribadah. Kata Aisyah r.a.
Maksudnya: “Nabi s.a.w. apabila masuk 10 akhir bulan Ramadhan
baginda mengikat kainnya. Menghidupkan malam dengan beribadah dan membangunkan
keluarganya untuk sama-sama beribadah. Mengikat kainnya bermaksud
bersungguh-sungguh mengerjakan ibadah.”
KELEBIHAN MENGHAYATI MALAM LAILATULQADAR
Kerana mulianya Lailatulqadar, Rasulullah s.a.w. menganjurkan
supaya umatnya bersedia menyambut dan menghayati malam yang berkat itu dengan
pelbagai jenis amalan dan ibadah yang diterangkan di antaranya hadis yang
diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a.
Maksudnya: “Barangsiapa menghayati malam Lailatulqadar dengan
mengerjakan sembahyang dan berbagai jenis ibadat yang lain sedang ia beriman
dan mengharapkan rahmat Allah s.w.t nescaya ia diampunkan dosanya yang terdahulu.
Rasulullah s.a.w. sendiri menjadi contoh yang baik yang
menghayati malam lailatulqadar terutama 10 malam yang akhir daripada bulan
Ramadhan dengan beriktikaf di Masjid mengerjakan pelbagai amal ibadah untuk
menyambut malam Lailatulqadar yang mulia.
Ini diterangkan di dalam satu hadis diriwayatkan daripada Aishah
r.a. Katanya:
Maksudnya: “Biasanya Rasulullah s.a.w. berusaha dengan
bersungguh-sungguh memperbanyakan amal ibadah pada 10 malam yang akhir daripada
bulan Ramadhan berbanding dengan masa yang lain.”
Dalam hadis yang lain Aishah juga meriwayatkan bahawa Rasulullah
s.a.w. bersabda bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui malam
Lailatulqadar pada malam-malam yang ganjil dalam 10 malam yang akhir daripada
bulan Ramadhan.
Terdapat juga hadis yang mengatakan bahawa baginda Rasulullah
s.a.w. menjawab pertanyaan seorang sahabat yang bertanya mengenai masa
Lailatulqadar supaya ianya bersedia dan menghayatinya. Baginda menjelaskan
malam Lailatulqadar itu adalah malam 27 Ramadhan. Dari keterangan-keterangan di
atas dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa malam Lailatulqadar itu berpindah
dari satu tahun ke satu tahun yang lain di dalam lingkungan 10 malam yang akhir
dari bulan Ramadhan.
Yang pastinya bahawa masa berlakunya malam Lailatulqadar itu
tetap dirahsiakan oleh Allah s.w.t. supaya setiap umat Islam menghayati 10
malam yang akhir daripada Ramadhan dengan amal ibadat. Kerana dengan cara
itulah sahaja mudah-mudahan akan dapat menemuinya dan dapat pula rahmat yang
diharapkan yang akan menjadikan seseorang itu hidup bahagia di dunia mahupun di
akhirat.
SUMBER: https://muslim.or.id/28232-carilah-keutamaan-malam-lailatul-qadar.html
No comments:
Post a Comment